SHARE

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, ramai yang tertekan dengan masalah kewangan. Pelbagai cara diusahakan bagi menambah pendapatan. Selain menambah pendapatan, kita juga harus berjimat dan mula membuat simpanan.

Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.

Surah: Yusuf – Ayat: 48

Kenapa kena menyimpan?

  1. Persediaan zaman susah
  2. Persediaan untuk memulakan pelaburan

Ramai yang mengeluh sukar untuk menyimpan. Bagi menyediakan ‘payung sebelum hujan’, 35 tips urus duit secara bijak ini mungkin dapat membantu.

Simpan di bank

1. Pilih bank yang beri pulangan terbaik

Ini tidak terhad hanya pada pemberian dividen. Lihat kelebihan lain seperti tiada fi ATM ataupun tiada fi overdraf.

2. Ketepikan duit gaji 

“Simpan dahulu, baru belanja”.

Buat simpanan secara automatik setiap bulan dengan gunakan kemudahan auto-debit. Ini memudahkan anda ketepikan sebahagian duit gaji untuk simpanan. Simpan di akaun yang anda susah buat pengeluaran.

3. Letakkan matlamat

Jika anda nak bebas hutang kad kredit contohnya, letakkan matlamat ‘bebas hutang kad kredit’.

Kemudian rancang bagaimana untuk jayakannya.

Boleh guna applikasi Mint, Budgt dan LearnVest bagi memudahkan tracking segala perbelanjaan.

4. Hadkan penggunaan ATM

Cuba hadkan pengeluaran wang melalui ATM kepada amaun tertentu seminggu sekali. Ini dapat mengawal pengeluaran serta menjimatkan anda dari caj perkhidmatan ATM (jika melakukan pengeluaran melalui ATM bank lain.

Bila dah buat pengeluaran boleh simpan duit untuk perbelanjaan guna cara ini – Teknik Sampul Wang.

Saya praktikkan cara ini dengan membahagikan wang kepada beberapa kategori sampul. Antaranya duit rumah, maintenance, belanja rumah dan belanja kerja.

Apabila sudah habis belanja atau sampul kosong, ini bermakna anda perlu berhenti belanja.

Penjagaan diri

5. Dapatkan tawaran menarik di ‘deal site’

Beli barangan pada kadar murah dengan tawaran laman web seperti Groupon, Ensogo atau Street Deal. Anda tidak akan percaya berapa banyak penjimatan yang dapat dinikmati. Cuma berhati-hati, takut terbeli barang yang tidak diperlukan pula.

6. Rawat gigi secara percuma

Cari fakulti pergigian di universiti tempatan. Buat temujanji dengan pelajar yang dalam latihan. Anda akan nikmati diskaun (kalau nasib baik percuma).

7. Jaga diri

Tidur dengan cukup, makan makanan berkhasiat dan selalu bersenam. Ia dapat membantu elakkkan bil hospital di masa hadapan.

8. Jangan mandi lama

Elakkan dari guna water heaterIni dapat jimatkan duit bagi bil air dan elektrik.

9. Buat krim cukur anda sendiri

Jimat duit untuk setiap cukuran dengan buat sendiri krim/losyen DIY seperti ini.

10. Berhenti dari tabiat mahal

Berhenti dari tabiat seperti merokok. Tabiat ini bukan saja membahayakan kesihatan malah membazir. Tak percaya? Secara purata perokok membelanjakan lebih RM2,000 untuk rokok setahun.

11. Guna kemudahan syarikat

Lihat jika syarikat anda ada diskaun korporat atau faedah lain seperti hotel, keahlian gim dan kesihatan. Jika ada, apa lagi gunakan sebaiknya. 🙂

12. Ambil peluang guna fasiliti gimnasium percuma

Banyak gym dan studio fitness menawarkan sekurang-kurangnya satu kelas percuma. Daftarkan diri. Jangan takut untuk mencuba.

13. Belajar senaman online

Zaman sekarang ni segalanya dah dimudahkan. Nak belajar tidak semestinya perlu ke kelas. Tonton saja di Youtube atau pun laman streaming yang lain.

Rumah

14. Tutup paip air semasa cuci pinggan

Simbah sedikit air pada semua pinggan di sinki dan kemudian cuci dengan sabun. Buka semula air hanya semasa membilas. Ini dapat jimatkan 500 ke 1000 liter air sebulan. Bayangkan ia bukan saja bagus untuk alam sekitar malah dompet anda juga.

15. Buat sendiri pencuci

Bancuh sendiri pencuci anda. Pencuci DIY selamat dan kebiasaannya lebih murah. Dengan hanya gunakan bahan asas seperti serbuk penaik, minyak zaitun, cuka dan herba, pencuci DIY ini dapat membersihkan kotoran tanpa menggunakan bahan kimia perosak.

16. Kekal dingin tanpa penghawa dingin

Banyak anda dapat jimat jika tidak gunakan penghawa dingin. Sebenarnya ada alternatif lain untuk menyejukkan bilik tanpa penghawa dingin. Cuba lihat tips percuma ini.

17. Tutup lampu 

Jadikan tabiat untuk tutup kembali suis lampu setiap kali sebelum keluar bilik. Walaupun hanya jimat beberapa sen sahaja, ia bukanlah satu perkara yang susah untuk dilakukan.

18. Tutup TV

Walaupun tutup TV tidak dapat menjimatkan banyak tenaga, ia sebenarnya menjimatkan wang dari segi lain. Sedar atau tidak, ada lebih kurang 100 iklan di TV setiap 4 jam. Dengan tidak menonton televisyen, anda dapat mengelakkan diri dari terpengaruh dengan iklan. Seterusnya memastikan anda tidak buat pembelian terhadap barangan yang tidak diperlukan.

19. Bertukar kepada mentol jimat tenaga

Mentol jimat tenaga agak mahal berbanding mentol biasa, tetapi sangat menjimatkan untuk jangka masa panjang. Ini kerana mentol LED dan Compact Fluorescent Light (CFL) gunakan kurang tenaga untuk menyala.

20. Cabut plug apabila tidak digunakan

Tahu tak sekiranya anda tidak cabut plug, tenaga elektrik masih mengalir kepada peralatan yang dicaj walaupun off atau dalam mode stanby. Bayangkan berapa banyak kita membazir. Cabut plug apabila tidak digunakan.

21. Guna surge protector

Untuk mudahkan jimat tenaga, gunakan surge protectorIa dapat menyekat pengaliran elektrik. Juga jangan lupa tutup suis setiap kali tidak digunakan.

Pakaian

22. Kemas almari baju

Ambil masa untuk kemas semula almari baju anda. Selalunya bila dalam keadaan tersusun anda akan terjumpa semula baju atau seluar yang telah lama tidak pakai. Boleh la berjimat sebab dah ada alasan tak perlu beli pakaian baru.

23. Periksa label

Kalau boleh elakkan dari beli pakaian dry cleaning only’ kerana ia memakan kos penjagaan tinggi. Pakaian yang diperbuat dari wool, sutera dan rayon yang agak susah dibasuh, rendam saja dengan sabun dan basuh guna tangan.

Membeli-belah

24. Dapat wang kembali

Berbelanja dan dapat wang kembali?. Gunakan Shopback. Anda akan terima tawaran menarik dan diskaun di pelbagai laman membeli belah. Bila anda beli melalui Shopback, sebahagian kecil dari jumlah pembelian akan dipulangkan semula.

25. Tinggalkan dompet

Nak jalan-jalan ambil angin di luar rumah atau pejabat?. Tinggalkan saja dompet supaya nanti tak terbeli air minuman atau barangan lain di kedai runcit.

26. Beli ketika Sale

Tunggu sehingga habis musim untuk beli barangan yang diidamkan. Biasanya apabila keluar model baru, anda boleh dapatkan koleksi musim lepas pada separuh harga.

27. Delete nombor kad kredit

Sentiasa delete cache dan jangan sesekali simpan nombor kad kredit pada akaun online. Dengan cara ini, setiap kali nak beli belah online, anda perlu masukkan semula maklumat akaun kad kredit. Ini akan bagi masa untuk anda fikirkan semula sama ada benar-benar perlu atau tidak buat pembelian tersebut.

28. Trik tahan nafsu 30 hari

Kalau anda rasa selalu buat pembelian yang tak sepatutnya (dan rasa menyesal). Apa kata cuba trik tahan nafsu 30 hari. Tulis barang apa yang ingin dibeli dan tunggu selama 30 hari. Bila sampai tempoh tersebut, jika masih rasa perlu barang itu, baru beli.

Makanan

29. Tanam makanan sendiri

Ada pelbagai jenis herba, sayur dan buah-buahan yang mudah ditanam sendiri di rumah. Jika anda punyai kawasan yang sesuai (termasuk dalam rumah), apa kata mula bercucuk tanam. Banyak sumber maklumat boleh didapati termasuklah sertai grup Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri.

30. Buat senarai barang

Pernah tak anda terlebih beli barang masa beli belah di Giant atau Mydin?. Saya pun biasa kena. Sebenarnya cara mereka pamerkan barang dan packaging barangan yang menarik disamping ada jualan murah banyak mempengaruhi pembeli.

Cara yang efektif untuk elakkan pembelian sebegini adalah dengan menyediakan senarai barang dan hanya beli barang yang disenaraikan sahaja.

31. Beli ketika perut penuh

Jangan pergi beli barang ketika perut lapar, ini akan mempengaruhi pembelian anda. Makan dahulu sebelum keluar. Kajian menunjukkan mereka yang membeli belah dalam keadaan lapar akan mempunyai lebih banyak makanan didalam troli.

32. Guna bakul

Jika barang yang ingin dibeli tidak banyak, jangan guna troli, gunakan bakul saja. Ini akan elakkan dari beli lebih dari yang perlu.

Pengangkutan 

33. Jalan dan berbasikal bila boleh

Bukan saja berjalan dan berbasikal ini bagus untuk kesihatan, malah ia juga efektif dari segi kos (tak perlu pakai petrol).

34. Carpool

Carpool (berkongsi kereta) dengan rakan sekerja bukan saja menjimatkan kos petrol tetapi juga kos maintenance. Anda juga ada peneman untuk bersembang dalam meredah kesesakan lalu lintas.

35. Isi angin tayar

Tayar yang diisi angin secukupnya akan meningkatkan efisyensi minyak sebanyak 3 peratus – bermakna kurang belanja pada petrol. Sentiasa periksa bacaan tekanan angin dengan tire gauge.

…..

Ini antara beberapa tips urus duit secara bijak yang dapat dikongsikan Godam Hidup kali ini. Jika ada idea atau tips lain, kongsikan dibahagian komen dibawah. 

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY